Bukan nak memburukkan sesiapa tetapi hanya berkongsi pengalaman...
Ta'aruf tujuannya untuk mengetahui kriteria calon pasangan dengan mempertemukan yang hendak dijodohkan dengan maksud agar saling mengenal. Ta'aruf secara syar`i memang diperintahkan oleh Rasulullah SAW bagi pasangan yang ingin nikah. Perbezaan hakiki antara bercinta dengan ta’aruf adalah dari segi tujuan dan manfaat.
Bukan nak cerita makna ta'aruf tetapi nak bercerita pengalaman ta'aruf. Allahu Rabbi. Masa sesi ta'aruf berlaku rasa macam lawak antarabangsa sangat. Pertama kali seumur hidup melakukan ta'aruf dan hasilnya kah kah kah. Rasa macam ops cik zieta nak rehat sebentar dari memikirkan pasal jodoh dan jangan bertanya pasal jodoh lagi. Bukan putus asa tapi inilah ceritanya....
Seorang lelaki yang sangat bercita-cita tinggi ingin mempunyai seorang isteri yang solehah.. (bukan cik zieta la tu sebab tu jodohnya bukan dengan cik zieta.. ahaks). Mahukan seorang isteri yang bangun di awal pagi, boleh membaca Al-Quran dan selalu menunggunya setiap kali pulang ke rumah. (Dia selalu pulang lewat kerana menjalankan perniagaan makanan). Ok. Sesi permulaan ta'aruf melalui sms yang cik zieta disoal siasat bagaikan seorang pesalah. (cik zieta ok jer.. cool.. tapi housemate yang membaca semua soalan-soalan lelaki tersebut naik angin. Melampau betul lelaki ini sampai penyakit keturunannya pun ditanyanya kata housemate cik zieta. Pengalaman pertama ta'aruf jadi redho je la. Pada cik zieta ok kot dia takut cik zieta ada keturunan gila agaknya.. hihi..)
cik zieta bagi masa 2 minggu untuk mengenali dan banyaknya lebih memerhati setiap kali dia sms dan menelefon. Ala dari kata-kata pun dah tahu orangnya macam mana kan. Kadang-kadang apa yang ditaip tu tanpa sedar jer. Yang paling best sekali bila suatu malam dia call, cik zieta kurang dengar apa dia cakap maka dikatakan cik zieta pekak. Woow sangat soleh lelaki ini. Tersenyum saja dalam hati. Masih meneruskan sesi ta'aruf walaupun hati dah mula sakit. Tapi disebabkan pengalaman pertama melalui ta'aruf seperti ini rasa macam satu pengalaman yang mengujakan. (agak kot ayat ini yang paling sesuai).
Ayat yang membuatkan cik zieta tersentap bila dikatakan..
"mak saya taknak lama-lama kenal ni. Kalau suka terus kahwin. Dan mak saya dah cakap wang hantaran RM3000 saja. Mak saya cakap tak payah mahal-mahal perempuan yang baik yang rendah wang hantarannya."
Ok.. so saya bertanya semula apa beza mas kahwin atau mahar itu dengan wang hantaran. Jawapannya sangat hebat panjang berjela tapi sayangnya saya tahu jawapan itu di copy paste daripada internet. Ayat skema takkan tak tahu... Uih cik abang mas kahwin atau mahar itu wajib diberi dan memang sebaik-baik perempuan yang rendah maharnya. Tapi yang cik abang cakap tu pasal wang hantaran. Kalau yang dimaksudkan wang hantaran itu adalah mahar atau mas kahwin yang wajib tu hmm itu kira tinggi la kan. kalau ikut kita di Malaysia mas kahwin tu puluhan jer.. tapi saya faham la maksud cik abang tu wang hantaran tu yang kebiasaan kita adat melayu tu kan.. hai keliru.. keliru..
Wahai bakal-bakal suami,
Anda ingin mengambil seorang muslimah untuk dijadikan isteri dan angkatlah martabatnya di sisi anda dan letaklah di tempat sepatutnya... Kalau di permulaan lagi anda sudah berkira-kira dan memandang rendah padanya elok saja anda mencari orang gaji bukan seorang isteri....
Dengan solat sunat isthikarah yang dilakukan setiap malam selama sesi ta'aruf berjalan dan dengan setiap apa yang berlaku maka itulah jawapan.. dia bukan jodohku.. Banyak lagi kejadian yang tak disangka-sangka dan ianya jadi satu pengajaran dan pengalaman. Daripada orang tengah dia mengatakan calon awak ini sangat baik tetapi Allah itu lebih mengetahui dan itulah tujuan ta'aruf yang sebenarnya.. berkenal-kenalan.. dasyat betul..
Alhamdulilah.. tapi yang sebenarnya bukan bakal suami yang Allah ingin cik zieta temui tetapi Dia menganugerahkan kepada cik zieta sesuatu yang lebih berharga dari itu.. Ta'aruf itu hanyalah jalan cerita hamba dan hikmahNya... MasyaAllah..
MAHAR ( MAS KAHWIN ) MENURUT PERSEPEKTIF ISLAM
1. Definisi Mahar
Mahar berasal daripada perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-‘aqd.
Menurut istilah syara’ mahar ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.
Mengikut Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan )
1984 menyatakan “ mas kahwin “ bererti pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar di bawah Hukum Syara’ oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang, menurut Hukum Syara’, dapat dinilai dengan wang.
Terdapat banyak dalil yang mewajibkan mahar kepada isteri antaranya firman
Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 4 :
“ Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan ( isteri ) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian ( yang wajib ). Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnnya, maka makanlah ( gunakanlah ) pemberian tersebut sebagai nikmat yang baik lagi lazat “
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Nisa ayat 24:
“ Mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya ( setelah dia menjadi isteri kamu ) maka berikanlah mereka maharnya ( ajr ) sebagai satu ketetepan yang difardhu ( diwajibkan oleh Allah Taala )”
Pemberian mahar suami sebagai lambang kesungguhan suami terhadap isteri. Selain itu ianya mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga. Ia juga merupakan penghormatan seorang suami terhadap isteri.
Walau bagaimanapun mahar tidaklah termasuk di antara rukun-rukun nikah atau syarat sahnya sesuatu pernikahan. Sekiranya pasangan bersetuju bernikah tanpa menentukan jumlah mahar, pernikahan tersebut tetap sah tetapi suami diwajibkan membayar mahar misil ( yang sepadan ). Ini berdasarkan satu kisah yang berlaku padazaman Rasulullah s.a.w. di mana seorang perempuan telah berkahwin tanpa disebutkan maharnya. Tidak lama kemudian suaminya meninggal dunia sebelum sempat bersama dengannya ( melakukan persetubuhan ) lalu Rasulullah mengeluarkan hukum supaya perempuan tersebut diberikan mahar misil untuknya.
2. Pemberian Mahar
Memberi mahar kepada isteri hukumnya wajib. Menurut Abu Hanifah, isteri berhak mendapat mahar apabila akad nikahnya sah. Manakala dalam mazhab Syafi’e pula diwajibkan mahar bukan disebabkan akad nikah yang sah sahaja tetapi juga dengan persetubuhan. Sekiranya akad nikah tersebut fasid ( tidak sah ), suami tidak wajib memberi mahar kepada isteri melainkan setelah berlakunya persetubuhan.
3. Mas Kahwin Dan Pemberian Menurut Peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam
Mengikut peruntukan seksyen 21 ( 1 ) dan ( 2 ) dalam Akta Undang-Undang
Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 ( Akta 303 ) berbunyi seperti berikut :
(1) Mas kahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu dan sekurang-kurangnya dua orang saksi lain.
(2) Pendaftar hendaklah, mengenai tiap-tiap perkahwinan yang hendak didaftarkan olehnya, menentu dan merekodkan :-
a) nilai dan butir-butir lain mas kahwin;
b) nilai dan butir-butir lain pemberian;
c) nilai dan butir-butir lain apa-apa bahagian mas kahwin atau pemberian atau kedua-duanya yang telah dijanjikan tetapi tidak dijelaskan pada masa akadnikah itu, dan tarikh yang dijanjikan untuk penjelasan; dan
d) butir-butir cagaran yang diberi bagi menjelaskan mas kahwin atau pemberian.
4. Kadar Mahar
Islam tidak menetapkan kadar serta had yang paling maksima dan minima dalam menentukan mahar bagi seseorang wanita. Ianya bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa dan suasana sesuatu tempat dan masyarakat. Sungguh pun demikian, Islam menganjurkan agar kita mengambil jalan tengah iaitu tidak meletakkan mahar terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita agar mempermudahkan mahar sebagaimana dalam sabdanya :
" ﺔﻧﺆﻣ ﻦهﺮﺴﻳأ ﺔآﺮﺑ ءﺎﺴﻨﻟا ﻢﻈﻋا "
Kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah yang mudah ( rendah ) tentang perbelanjaan ( mahar ).
( Riwayat Ahmad dan al-Hakim ) Walau bagaimanapun suami boleh memberikan mahar yang tinggi kepada isteri berdasarkan kepada ayat al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 20 :
“ Kamu telah memberikan kepada salah seorang daripada mereka harta yang banyak “
Di Malaysia pemberian mahar diberikan oleh suami kepada isteri dalam bentuk wang ringgit yang kadarnya berbeza dari satu negeri dengan negeri yang lain.
5. Jenis Mahar
a. Mahar Musamma
Mahar yang disebut dengan jelas jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah seperti yang diamalkan dalam perkahwinan masyarakat kita pada hari ini.
Ulama’ telah bersepakat bahawa mahar musamma wajib dibayar oleh suami apabila berlaku salah satu daripada perkara-perkara berikut :-
1) Berlakunya persetubuhan di antara suami isteri.
2) Kematian salah seorang di antara mereka sama ada suami atau isteri.
b. Mahar Misil ( mahar yang sepadan )
Mahar yang tidak disebut jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah. Sekiranya berlaku keadaan ini, mahar tersebut hendaklah diqiaskan ( disamakan ) dengan mahar perempuan yang setaraf dengannya di kalangan keluarganya sendiri seperti adik beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Sekiranya tiada, maka diqiaskan pula dengan mahar perempuan-perempuan lain yang setaraf dengannya dari segi kedudukan dalam masyarakat dan sekiranya tiada juga, terpulang kepada suami berdasarkan kepada adat dan tradisi setempat.
Selain daripada itu terdapat perkara-perkara lain yang perlu diambil kira dalam menentukan mahar misil iaitu dari sudut rupa paras, kekayaan, keadaan setempat, keagamaan , ketakwaan, keilmuan, kecerdasan fikiran , keluhuran budi serta status perempuan tersebut sama ada gadis atau janda dan perkara-perkara yang boleh dijadikan penilaian. Ini kerana kadar mahar berbeza dengan berbezanya sifat-sifat di atas.
6. Mendapat Separuh Mahar Atau Tidak Berhak Mendapat Langsung
Sebagaimana yang kita sedia maklumi , apabila berlakunya suatu akad nikah yang sah, maka wajib bagi suami membayar mahar kepada isteri sama ada berupa mahar musamma atau pun mahar misil kerana ia merupakan hak isteri.Walau bagaimanapun terdapat keadaan yang menyebabkan isteri hanya berhak mendapat separuh sahaja daripada mahar tersebut atau pun tidak mendapat apa -apa mahar langsung daripada suami iaitu :-
a) Isteri hanya mendapat separuh sahaja daripada mahar apabila berlakunya perceraian sebelum persetubuhan. Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 237 :
“ Dan jikalau kamu menceraikan mereka itu ( isteri-isteri ) sebelum kamu menyetubuhi mereka walhal kamu telah menetapkan mahar kepada mereka, maka diwajibkan ( bayarannya ) separuh daripada yang kamu tetapkan kecuali jika mereka sendiri memaafkan atau orang yang mempunyai kuasa perwalian memaafkannya “
Ayat di atas menyatakan bahawa sekiranya mahar isteri telah disebutkan ketika akad nikah dan berlakunya penceraian sebelum persetubuhan, maka suami hanya wajib membayar separuh sahaja daripada mahar tersebut. Tetapi sekiranya mahar tidak disebut ketika akad nikah, suami wajib membayar mahar misil kepada isteri.
Menurut pendapat Imam Syafi’e dan Imam Malik sekiranya berlaku perceraian sebelum persetubuhan, suami hanya wajib membayar separuh sahaja mahar kepada isteri sama ada mahar tersebut disebut semasa akad nikah atau sebaliknya.
b) Isteri tidak berhak langsung untuk mendapat pemberian mahar daripada suami apabila berlakunya perceraian disebabkan fasakh ( dari pihak isteri ) sebelum berlakunya persetubuhan.
7. Kesimpulan
Mahar adalah hak isteri yang diberikan oleh suami dengan hati yang tulus ikhlas tanpa mengharapkan balasan sebagai pernyataan kasih sayang dan tanggungjawab suami atas kesejahteraan rumah tangga. Ianya bertujuan untuk menggembira dan menyenangkan hati isteri agar isteri merasa dihargai dan bersedia untuk menjalani kehidupan bersama suami.
Mahar adalah menjadi hak milik isteri. Sekiranya ia tidak disebut sekalipun
Para mujtahidin telah sepakat mengatakan bahawa tidak ada kadar dan had yang tertentu dalam meletakkan kadar mahar yang paling maksima. Terdapat satu peristiwa yang berlaku yang berlaku di zaman Umar al Khattab (r.a) di mana beliau melarang orang ramai dari meninggikan kadar mahar iaitu tidak boleh lebih daripada empat dirham katanya, “ Janganlah kamu meninggikan mahar perempuan kerana jikalau dia dimuliakan di dunia, atau mahu bertaqwa kepada Allah, maka yang lebih utamaialah contoh daripada Rasulullah yang tidak menetapkan mahar kepada isterinya mahu pun bagi puteri-puterinya melebihi dua belas auqiah. Oleh sebab itu sesiapa yang melebihi daripada 440 dirham walaupun lebihannya sedikit maka yang itu dimasukkan ke dalam Baitulmal “.
Lantas seorang perempuan Quraisy membantah sambil berkata : “ Allah telah berfirman di dalam al-Quran :
“ Apabila kamu telah memberikan kepada mereka itu ( isteri ) sepikul mahar, maka jangan kamu ambil waalupun sedikit daripada mahar itu “
( surah al Nisa : 20 )
Ulasan
Catat Ulasan